Tuesday, March 25, 2008

Surat Terbuka Daripada Golongan Profesional Muda

Surat Terbuka Daripada Golongan Profesional Muda

Kami organisasi-organisasi yang mewakili golongan profesional muda ingin merakamkan rasa terkejut dan dukacita dengan keputusan Pilihanraya Umum ke-12 yang baru lalu. Keputusan pilihanraya ini membuktikan rakyat masih mempercayai proses demokrasi yang ada di negara ini dan telah menggunakannya untuk meluahkan perasaan mereka. Tahniah juga kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana dapat menganjurkan pilihanraya dengan baik. Secara keseluruhannya, rakyat telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dengan aman, tanpa gangguan serta tekanan.

Rakyat telah bersuara dengan kuat dan jelas. Mesejnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Rakyat sudah tidak sehati sejiwa bersama kerajaan mengenai pelbagai isu. Ini merangkumi aspek-aspek ekonomi, hubungan antara kaum, integriti serta kedaulatan negara. Kami berpendapat bahawa malangnya dalam menangani isu-isu tersebut, pendapat serta pandangan rakyat, termasuklah generasi muda telah tidak di hiraukan.

Pada Pilihanraya Umum ke-11, rakyat telah memberikan mandat terbesar di dalam sejarah negara kepada kepimpinan YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dengan harapan yang tinggi untuk perubahan. Amat mengejutkan, dalam jangka masa yang singkat, mandat tersebut telah ditarik balik dan kini rakyat memberi mesej bahawa mereka tidak lagi mahu bekerja bersama kepimpinan tertinggi yang sediada. Rakyat telah menilai kepimpinan YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan memberikan markah merah untuk Kad Rekodnya (Report Card).

Golongan profesional muda masih berpendapat bahawa Barisan Nasional adalah gagasan yang mempunyai agenda yang jelas dan menyeluruh untuk rakyat serta negara. Gagasan ini masih mempunyai keupayaan dan dapat mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia. Demi kebaikan bersama, institusi gagasan ini harus dipertahankan. Apa yang diperlukan dengan segera ialah perubahan kepimpinan kepada yang lebih peka kepada suara dan kehendak sebenar rakyat. Kepimpinan untuk rakyat, kepada rakyat.

Kami golongan profesional muda yang telah meraih manfaat daripada dasar pendidikan negara, telah dididik mengenai prinsip ‘accountability’, dimana seseorang itu harus bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Kepimpinan nombor satu negara mesti mendengar suara hati rakyat ini dan menerimanya dengan terbuka. Demi kesejahteraan masa depan rakyat serta negara, harus memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih berupaya berkhidmat dengan lebih prihatin.


Sekretariat Melayu Muda
Alumni Melayu UK & Eire (AMUKE)

No comments: